Polis, ESSCom tahan 8 ahli kumpulan Abu Sayyaf

0
1

POLIS dan anggota keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan lapan ahli kumpulan Abu Sayyaf warganegara Filipina termasuk dua yang dikehendaki pihak berkuasa negera itu, Sabtu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, berkata mereka ditahan bersama 29 lagi individu, semuanya warganegara Filipina, dalam operasi khas di kawasan paya bakau di Taman Sri Arjuna, Beaufort jam 3 pagi.

“Kita telah semak dengan pasukan keselamatan Filipina dan mereka mengesahkan lapan lelaki itu ahli kumpulan Abu Sayyaf yang melarikan diri ke Sabah hasil operasi dijalankan pasukan keselamatan Filipina di selatan negara berkenaan.

“Semakan dengan pihak Filipina juga mendapati dua daripada ahli kumpulan Abu Sayyaf itu dinamakan dalam senarai orang dikehendaki kerajaan Filipina,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Belaiu berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di Kota Kinabalu hari ini.

Hazani berkata, siasatan awal mendapati mereka yang ditahan itu tidak terbabit dengan kegiatan menculik untuk wang tebusan di negeri ini dan dipercayai mereka mahu menjadikan Sabah sebagai tempat persembunyian.

Beliau berkata, operasi itu adalah kerjasama pihak polis, ESSCom serta pasukan keselamatan Filipina, dan mereka yang ditahan direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

“Ketika ditahan kita menemui beberapa dokumen antaranya resit pengenalan sementara Malaysia yang dipercayai palsu… kita juga percaya mereka ada bawa senjata api dari Filipina tetapi tidak ditemui ketika ditahan, jadi kita mahu cari di mana mereka sembunyikan senjata api itu.

“Kita mahu cari siapa ‘established contact’ mereka di Sabah ini, berapa lama sudah berada di sini dan laluan mereka ke sini. Perlu diingatkan mereka yang didapati bersekongkol boleh diambil tindakan mengikut undang-undang kerana bersubahat,” katanya.

Katanya, dua ahli kumpulan Abu Sayyaf yang berada dalam senarai dikehendaki Kerajaan Filipina kerana pernah terbabit dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan negara itu selain turut terbabit dalam beberapa kes penculikan warga asing di Filipina. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/01/10/esscom-keluar-senarai-21-penjenayah-dikehendaki/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here