PH desak KPM lebih proaktif, laksana penggiliran persekolahan

0
2

PAKATAN Harapan (PH) mendesak Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah proaktif melaksanakan pelan alternatif jangka panjang bagi mengelak pelajar terus keciciran dalam pembelajaran, susulan semua sekolah ditutup bagi membendung penularan Covid-19.

Jawatankuasa Pendidikan PH dalam satu kenyataan hari ini, memandang serius kegusaran ibu bapa dan guru menjelang pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selepas cuti Aidilfitri ini.

Kenyataan oleh bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen DAP, Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Amanah, Datuk Dr Hassan Baharom menyifatkan KPM gagal mewujudkan pendekatan lebih kreatif dan luar kotak dalam berhadapan pembelajaran di kala pandemik.

“KPM hanya bertindak secara ‘knee jerk reaction’ tanpa pelan mempunyai jangka masa panjang, pelan kecemasan dan jauh sekali pendekatan lebih kreatif terutama dalam menghadapi suasana kemiskinan digital dan kesenjangan akses kepada pendidikan dalam talian,” katanya.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pendidikan PH mencadangkan beberapa pelan alternatif seperti menggunakan sistem penggiliran persekolahan yang memberi keutamaan kepada pelajar Tingkatan Lima hadir sekolah setiap hari untuk persediaan SPM 2021.

“Namun bagi pelajar Tingkatan Empat, mereka boleh hadir pada Isnin untuk PdPC, Selasa PdPR, Rabu PdPC, Khamis Tv Pendidikan, dan Jumaat ke sekolah untuk PdPC.

“KPM perlu membezakan kawasan hijau dan selamat dari kawasan zon merah, kuning dan berpotensi. Sistem HIDE boleh membantu KPM mengenalpasti sekolah yang sesuai ditutup atau tidak.

“Bagi kawasan pendalaman dan luar bandar yang jauh dari jangkitan dan tiada kes serta pergerakan keluar masuk, KPM sepatutnya membenarkan sekolah terus dibuka, terutama capaian internet yang tidak mencukupi untuk jalani kaedah PdPR,” catat kenyataan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here