TINGGAL beberapa hari umat Islam akan menyambut Syawal,
PELAKON Nora Danish dan Tiz Zaqyah pasrah menerima ketentuan takdir apabila disahkan positif Covid-19, beberapa hari ketika umat Islam akan menyambut Syawal.
Dua pelakon jelita itu berkongsi berita dijangkiti wabak berkenaan melalui hantaran di Instagram (IG) masing-masing.
Nora memaklumkan, dia telah membuat ujian calitan kerana difahamkan mempunyai kontrak rapat individu dalam kategori C.
“Keputusan pagi tadi mendapati saya positif walaupun tiada sebarang simptom.
“Sekarang Nora kuarantin sendiri dalam bilik agar anak-anak dan suami selamat.
“Mereka juga sudah melakukan ujian calitan melalui kaedah ‘Real-Time Reverse Transcription-Polymerese Chain Reaction’ (RT-PCR) atau kit ujian pantas antigen pada jam 12 tengah hari tadi,” tulisnya.
Sehubungan itu, Nora menasihatkan individu yang bertemu dengannya antara 4 hingga 8 Mei lalu membuat ujian calitan.
“Doakan untuk kami semua iya,” luahnya dalam entri di IG.
Nora berkata, dia sepatutnya hadir temujanji untuk suntikan vaksin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, pagi tadi.
“Namun, saya dinasihatkan kuarantin duhulu. Insya-Allah, pasti ada hikmah atas apa yang terjadi.
“Jaga diri dan akur prosedur operasi standard (SOP)… Maafkan saya,” katanya.
Sementara itu Tiz Zaqyah mengesahkan sedang menjalani tempoh kuarantin 10 hari di rumah, bermula hari ini.
“Pagi tadi, kira-kira jam 8.30 pagi, saya mendapat panggilan daripada sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, memaklumkan saya positif Covid-19.
“Saya diminta menjalani kuarantin di rumah. Doakan saya dan keluarga selamat serta baik-baik sahaja.
“Hendak raya, dapat berita begini. Saya tidak mampu melawan kehendak takdir. Nampaknya kena beraya dalam keadaan yang tidak menyeronokkan,” katanya.
Menurutnya dia telah mengalami tidak sedap badan sejak beberapa hari lalu.
“Ada sedikit batuk dan saya menggigil kesejukan untuk tempoh sekejap. Saya mula fikir badan tidak bertindak balas seperti biasa dan terus membuat pemeriksaan.
“Kepada yang lain, kalau ada simptom seperti selesema, batuk, bersin dan pening kepala lekas buat pemeriksaan. Mungkin kita rasa normal, tapi boleh jadi sebaliknya.
“Jadilah rakyat bertanggungjawab dengan pergi membuat pemeriksaan. Jangan ambil mudah dan tanpa sedar memberi risiko kepada orang lain,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: Instagram

