Nilam Oshman
DATUK Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau telah menyerahkan laporan eksekutif situasi terkini politik dan ekonomi di rantau Timur Tengah serta impaknya terhadap kepentingan Malaysia kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu berkata laporan yang diserahkan pada 18 Ogos lalu, bertujuan menggariskan peluang kerjasama dalam bidang Agama Islam, Pelaburan, Perdagangan dan Pendidikan di rantau berkenaan.
“Saya turut berkongsi hasil pertemuan dengan enam duta negara-negara Timur Tengah di Malaysia iaitu Arab Saudi, Yaman, Qatar, Iran, Oman, dan Afganistan, serta beberapa negara lain yang sedang diatur.
“Ini bagi mendapatkan maklum balas langsung dan mengeratkan hubungan dua hala melibatkan kerjasama dalam bidang pelaburan, perkongsian pintar dan kestabilan politik,” katanya menerusi Facebook.
Jelasnya, laporan tersebut turut mengandungi beberapa syor dan agenda bertindak, khususnya dalam usaha menarik pelaburan dari Timur Tengah pasca Covid-19 yang perlu disegerakan, seterusnya memanfaatkan potensi kerjasama dalam pelbagai bidang demi kebaikan Malaysia, umat Islam dan dunia keseluruhannya.
“Pada masa sama, saya merakamkan penghargaan kepada Wisma Putra dan Bahagian Penyelidikan JPM yang telah memberi kerjasama dan khidmat nasihat yang amat berguna bagi saya menjalankan tugas dengan sebaiknya,” katanya lagi. – Malaysiapost

