Muhyiddin kini tiada haluan untuk dituju – Tun M

0
2

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahatdir Mohamad menggambarkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini seperti hilang haluan dalam perjalanan politiknya.

Beliau berkata arena politik negara kini menjadi keliru atas tindakan diambil beberapa parti, yang sudah hilang haluan dan sanggup membuat apa sahaja untuk mendapatkan sokongan.

“Pening kepala Muhyiddin. Tidak ada haluan untuk dituju. Cari sakit pada sakit.

“Bersatu yang ditubuh untuk menjatuhkan Najib beralih menjadi parti untuk hidupkan Najib dan Barisan Nasional (BN),” tulisnya dalam portal chedet.cc hari ini.

Menurut Dr Mahathir lagi, kini Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) bergantung sepenuhnya kepada Umno.

Namun begitu, katanya, Umno pula dikatakan berpecah kepada tiga bahagian, di mana terdapat ahli yang setuju Bersatu menyertai Muafakat Nasional (MN) dan ada yang sebaliknya, begitu juga bagi pihak PAS.

Tambahnya, Muhyiddin kini sedang bimbang hilang jawatan Perdana Menteri jika kehilangan enam kerusi dalam kerajaan.

Beliau juga menyatakan penubuhan parti Pejuang makin membuatkan Bersatu hilang arah dan kekurangan sokongan akar umbi.

“Datang Pejuang. Bersatu hilang akar umbi. Banyak pemimpin tapi kurang yang hendak dipimpin. Jadi parti kosong. Akar umbi pindah ke Pejuang.

“Dalam Pilihan Raya raya Umum (PRU) Bersatu tidak akan dapat sokongan Umno dan PAS, tidak juga dari PH. Bersatu mungkin dibubar dan sertai Umno. Tamat riwayat parti yang dicuri,” ujarnya lagi. – Malaysia Post