Nilam Oshman
SERAMAI 29 keluarga masyarakat Orang Asli
beragama Islam di Kampung Orang Asli, Hutan Lipur Bukit Lagong, Gombak menerima sumbangan makanan sempena program Cahaya Ramadan 2021, hari ini.

Program itu dianjurkan Pertubuhan kebajikan Islam Teratak Che Dah dengan kerjasama Yayasan Jamin serta Dewan Perdagangan dan Industri Asean (DPIA).
Presiden DPIA, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, sumbangan makanan yang diberikan antaranya ayam pencen, daging dan biskut raya, nasi impit dan air kordial sebagai persiapan juadah Aidilfitri yang akan diedarkan pada 12 Mei ini.

“Kita berikan tiga ekor ayam, dua kilogram daging, air kordial, nasi impit dan beberapa jenis kuih raya.. kita bungkus dalam satu set dan agihkan pada Rabu ini.
“Walaupun sumbangan ini tidaklah banyak, sekurang-kurangnya ia mampu menceriakan saudara-mara yang memerlukan selain tanda ingatan kita kepada masyarakat Orang Asli.
“Setiap tahun kita agihkan sumbangan namun tahun ini aktiviti dijalankan dengan lebih sederhana dan ringkas disebabkan penularan wabak Covid-19,” katanya pada program itu di Surau At-Taqwa Bukit Lagong.

Dalam masa sama, Sohaimi yang juga Pengerusi Yayasan Jamin turut menghulurkan sumbangan duit raya kepada 56 kanak-kanak Orang Asli.
Beliau turut memberi sumbangan sejadah kepada Surau At-Taqwa selain menyediakan peruntukan membaiki tandasnya bagi keselesaan jemaah. – Malaysiapost

