Didakwa langgar SOP, Awie dipanggil beri keterangan

0
1

POLIS Melaka akan memanggil penyanyi dan pelakon, Datuk Awie untuk diambil keterangan susulan dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam satu majlis di negeri itu, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata selain Awie, penganjur serta beberapa individu yang terbabit turut akan dipanggil dalam tempoh terdekat.

Mohd Sukri berkata, polis menerima laporan pada jam 12.43 tengah hari tadi yang memaklumkan berlaku pelanggaran SOP oleh penyanyi itu atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman dalam satu majlis misi kemanusiaan.

“Kesemua yang terbabit dalam kes ini termasuk penganjur akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk diambil keterangan.

“Siasatan akan dilengkapkan dengan segera dan akan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook Polis Melaka hari ini.

Sehubungan itu beliau meminta individu yang terbabit atau mempunyai maklumat untuk hadir bagi membantu siasatan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Pemulihan) No 3, 2021.

Terdahulu tular video memaparkan Awie menyanyi beramai-ramai dipercayai dalam satu majlis di sebuah hotel tanpa pematuhan SOP, termasuk tidak memakai pelitup muka serta penjarakan fizikal.

Penyanyi kumpulan Wings yang juga pelakon itu, dirakam menyanyikan antara lagu hitnya ‘Dipenjara janji’ bersama beberapa individu.

Semakan Malaysiapost, mendapati Awie mempunyai program misi kemanusiaan di sebuah hotel di Melaka pada 6 Mei lalu, namun tidak dapat dipastikan sama ada video tular itu membabitkan program berkenaan. – Malaysiapost

Foto Kredit: PREBIU.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here