MALAYSIA mesti segera melaksanakan ‘lockdown’ bagi mengekang penularan wabak Covid-19, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Katanya langkah itu perlu ketika protokol kesihatan tidak lagi berkesan kerana rakyat telah mula menunjukkan sindrom keletihan terhadap prosedur operasi standard (SOP).
Beliau berkata data jelas menunjukkan berlaku pengurangan jangkitan melalui kluster tetapi pertambahan kes melalui sporadic infection’.
“Ini bermakna kes jangkitan dalam komuniti telah menular dengan pantas,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Mohamed Khaled berkata negara maju terus mengambil pendekatan drastik seperti ‘lockdown’ walaupun mereka mempunyai kebitaraan unggul dalam mengumpul dan memahami data.
Ini kerana katanya, membataskan pergerakan manusia adalah jalan terbaik untuk memutuskan rangkaian wabak ini.
“Rakyat Malaysia tidak kira orang kenamaan, politik mahupun rakyat mesti berkorban dan melupakan segala bentuk kunjungan Hari Raya walaupun dalam daerah sama bagi mengelak jangkitan.
“Ingatlah, dengan proses vaksinasi yang perlahan, kemampuan kemudahan perubatan telah berada pada tahap maksimum dan petugas kesihatan semakin tertekan, Malaysia berada pada fasa kritikal dalam menangani wabak ini.
“Semua sektor ekonomi mesti memberi laluan kepada ‘darurat kesihatan’ ini,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga mesti mempertingkatkan kebolehgunaan fungsi MySejahtera bagi memastikan ia menjadi aplikasi yang rakyat Malaysia perlukan pada setiap saat dan ketika bagi menjaga keselamatan diri mereka.
“Keupayaan sedia ada MySejahtera seharusnya ketika ini sudah melangkaui keupayaan sekadar imbasan QR.
“Ia seharusnya sudah berupaya memaklum individu jika mereka pernah berada dalam jarak yang dekat dengan individu positif Covid (‘proximity notification’).
“Teknologi ini telah pun dibina melalui kolaborasi Apple dan Google,” katanya.
Beliau menjelaskan dalam kes sporadik, individu positif tidak mengetahui sumber atau tempat di mana mereka mendapat jangkitan.
Berikutan itu katanya, jika digunakan selari dan bersama keupayaan sedia ada MySejahtera, ia menjadi jawapan kepada permasalahan tersebut.
“Walau apa jua usaha dan teknologi, akhirnya membataskan pergerakan manusia adalah jalan terbaik untuk memutuskan rangkaian wabak ini,” katanya. – Malaysiapost

