Bekas tentera ceroboh pos kawalan tentera mati ditembak

0
1

SEORANG bekas tentera mati ditembak ketika bergelut dengan pengawal di pintu hadapan Kem Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan di Gerik, ketika menceroboh masuk ke kawasan pos tersebut, semalam.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, lelaki berusia 35 tahun yang bersenjatakan parang sebelum itu diberi amaran oleh anggota tentera yang berkawal di pos pengawal di pintu hadapan kem berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki itu bagaimanapun tidak menghiraukan amaran, malah agresif menyerang anggota tentera.

“Dalam pergelutan itu, anggota tentera pengawal pos melepaskan tembakan dan mengenai lelaki terbabit.

“Tentera kemudian memaklumkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik dan menghantar lelaki terbabit ke Hospital Gerik, untuk rawatan namun dia disahkan meninggal dunia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Lelaki terbabit adalah bekas tentera yang berkhidmat pada 2003 dan ditamatkan perkhidmatan pada 2013 kerana masalah mental.

Mior Faridalathrash berkata susulan laporan itu tentera, anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan merampas beberapa barangan.

“Polis sedang menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan hari ini di Hospital Permaisuri Bainun, Ipoh,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 9 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Beliau juga berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga boleh menjejaskan siasatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here