Beg tangan, kasut dan jam tangan mewah Rosmah hadiah rakan

0
2

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa sejumlah 263 beg tangan pelbagai jenama, 27 pasang kasut dan 10 utas jam tangan mewah yang disita polis di kediaman Datuk Seri Najib Razak berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah hadiah daripada rakan dan orang kenamaan.
Peguam Iskandar Shah Ibrahim yang mewakili isteri dan anak bekas Perdana Menteri itu iaitu Datin Seri Rosmah Mansor dan Nooryana Najwa berkata, tiada jejak wang menunjukkan semua harta itu adalah hasil daripada penyelewengan dana 1MDB.
Iskandar Shah berkata, berdasarkan afidavit yang diikrarkan pegawai penyiasat kes 1MDB, Superintendan Foo Wei Min, pihak pendakwaan sendiri tidak dapat memastikan beg tangan serta kasut berkenaan adalah hadiah atau diperoleh daripada hasil aktiviti haram.
“Bagi beg tangan yang dirampas, ia adalah hadiah daripada rakan kenalan rapat termasuk orang kenamaan, besan Datin Seri Rosmah, ibu mentua kepada Nooryana serta orang lain yang tidak dikenali.
“Pihak kami berhujah, pemohon (pendakwaan) tidak dapat mengenal pasti selain tidak membuat penilaian terhadap kesemua beg berjenama kecuali beg Hermes. 
“Atas imbangan kebarangkalian, adalah tidak mustahil untuk Datin Seri Rosmah dan Nooryana yang juga isteri dan anak kepada bekas Perdana Menteri, menerimanya sebagai hadiah atau membuat perolehan sendiri,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berhujah pada prosiding tuntutan pelucutan hak harta berkenaan daripada Rosmah, Nooryana dan 16 yang lain.
Pada 8 Mei 2019, Jabatan Peguam Negara memfailkan notis usul berhubung pelucutan hak terhadap ratusan barangan, termasuk beg tangan pelbagai jenama dan 27 kenderaan yang dirampas daripada Najib, Rosmah, tiga anak mereka, serta 13 individu dan syarikat yang dikatakan berkaitan 1MDB.
Selain itu, wang berjumlah lebih RM18 juta dalam beberapa akaun bank di Bank Islam Malaysia Bhd, Al-Rajhi Bank Bhd, Malayan Banking Bhd, CIMB Bank Bhd, RHB Bank Bhd, Public Bank Bhd, AmBank Bhd dan Hong Leong Bank Bhd, dibeku antara 16 Ogos, 2018 dan 11 Mac 2019.
Dalam notis usul lucut hak itu, pendakwaan menamakan Najib, Rosmah dan anak mereka iaitu Nor Ashman Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib) dan Nooryana Najwa, Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe, Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isteri Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden pertama hingga ke-18.
Mengenai 27 pasang kasut yang dirampas, Iskandar Shah berhujah, dakwaan Foo dalam afidavitnya yang menyatakan mustahil untuk Nooryana memiliki kasut berkenaan adalah tidak berasas, kerana wanita itu mendedahkan punca pendapatannya dengan jelas dan mengemukakan bukti sah menerusi afidavitnya.
“Malah, Foo dalam afidavitnya tidak membuat penilaian untuk menentukan sama ada Nooryana mampu membelinya atau tidak, oleh itu wujud kemungkinan kasut berkenaan bukan hasil daripada aktiviti haram.
“Afidavit Foo tidak menafikan beg itu adalah hadiah atau pemberian, namun Foo dalam masa yang sama meletakkan beban Nooryana untuk membuktikannya dengan mengemukakan resit pembelian atau sebagainya,” katanya.
Iskandar Shah menambah, pendekatan Foo adalah tidak adil kerana tiada jejak wang dikemukakan atau keterangan saksi yang menyatakan secara terus bahawa harta terbabit adalah hasil aktiviti haram berkaitan dana 1MDB.
Sementara itu, peguam Azamuddin Aziz yang berhujah bagi pihak Riza Shahriz dan Nor Ashman Razak berkata, tiada bukti aliran wang menunjukkan dana 1MDB digunakan untuk membeli 10 utas jam tangan milik mereka.
“Foo dalam afidavit sokongannya mengatakan Nor Ashman langsung tidak mempunyai fail cukai pendapatan, dan berpendapat dalam keadaan itu tidak mungkin beliau boleh membeli jam tangan terbabit,” katanya.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 18 Jun depan , bagi pihak pendakwaan membalas hujahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here