KERAJAAN hari ini mengumumkan kelonggaran aktiviti sukan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 20 Mei ini. Ia selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbangkan rayuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk melihat semula keputusan mengenai SOP Sektor Sukan dan Rekreasi dalam tempoh PKP.
KBS menerusi kenyataan berkata berdasarkan kelonggaran SOP, aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan terbuka tanpa sentuhan fizikal seperti joging, berbasikal, senaman dan lain-lain dibenarkan.
Pun begitu, menurut KBS, aktiviti berkenaan perlu mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter dan dilakukan di kawasan kejiranan atau terhad di mana-mana kawasan dalam daerah sama, tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyambut baik SOP itu dan menyeru peminat dan penggiat sukan untuk terus melaksanakan aktiviti kecergasan dengan selamat sepanjang tempoh PKP ini.
“Kita masih lagi belum menang dalam melawan penularan Covid-19. Justeru, semua pihak hendaklah memainkan peranan yang lebih berkesan agar pelaksanaan PKP pada kali ini benar-benar mencapai matlamat yang dihasratkan,” katanya. – Malaysiapost

