3 kampung di Kelantan dikenakan PKPD

0
2

TIGA kampung di Pasir Mas, Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad ini susulan peningkatan mendadak kes Covid-19. Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga kampung di Mukim Bunut Susu yang dikenakan PKPD itu adalah Kampung Paya Ular, Kampung Tualang dan Kampung Bechah Palas. 
Menurutnya, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD itu selama 14 hari bermula Ahad ini hingga 22 Mei bagi memudahkan pengesanan awal kes dan mencegah penularan jangkitan ke kampung berhampiran.
“Sehingga kini, sebanyak 120 kes positif direkodkan di tiga kampung berkenaan iaitu 42 kes di Kampung Paya Ular, Kampung Tualang (26 kes) dan Kampung Bechah Palas (52 kes).
“Pada masa sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan berlaku peningkatan kes secara mendadak, manakala kadar positif Covid-19 di tiga lokaliti itu adalah tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Sekolah Menengah Sains Banting (SMSB), Kuala Langat; Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan dan Kampung Muhibbah Raya di Tawau, Sabah ditamatkan lebih awal daripada dijadualkan. 
Beliau berkata, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di dua sekolah berkenaan pada hari ini, manakala Kampung Muhibbah Raya ditamatkan esok. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here