MALAYSIA mencatatkan kemasukan sebanyak 506 kes ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hari ini iaitu jumlah tertinggi sejak pandemik ini bermula.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 295 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.
Menurutnya, kemasukan kes kritikal ke ICU meningkat sebanyak 44 peratus berbanding tempoh dua minggu yang lalu di seluruh negara.
“Beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak turut menunjukkan kadar peningkatan yang lebih tinggi.
“Sebanyak 22 hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil ICU Covid-19 melebihi 70 peratus dan ada yang mencecah lebih 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata, beberapa hospital bukan Covid-19 juga terpaksa merawat pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan alat pernafasan. “Pesakit ini tidak dapat dipindahkan ke hospital Covid-19 akibat kesesakan di ICU.
“Ada juga pesakit yang terpaksa diberi bantuan alat pernafasan di wad biasa,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, musim perayaan, liputan vaksinasi yang belum lagi meluas serta kepadatan penduduk di sesetengah kawasan akan meningkatkan lagi kemungkinan hospital terus berdepan dengan peningkatan kes, khususnya terhadap kes dengan gejala serius (kategori 3-5) melibatkan golongan rentan seperti warga emas dan mereka yang mempunyai lain-lain penyakit (co-morbidity).
“Bilangan kes harian juga masih tinggi dan belum menunjukkan sebarang penurunan dalam jangka masa terdekat. Pada hari ini sahaja, negara mencatat 4,498 kes baharu.
“Saya menyeru orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan daftar segera sebagai penerima vaksin,” katanya. – Malaysiapost

