AHLI Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membuat dasar dan cara mengatasi Covid-19 perlu dirombak kerana gagal menangani pandemik itu yang sudah 18 bulan melanda negara.
Saranan itu dibuat Pengerusi DAP Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim yang menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merombak semula kesemua Ahli MKN berkenaan. “Kita telah gagal dalam 18 bulan ini. Tak malu mengaku kelemahan diri. Ambillah kumpulan yang lain. Tidak payah ramai wakil polis dan tentera. Tidak perlulah ramai orang politik yang hanya mementingkan kepentingan politik. Selesai dahulu Covid-19. “Kalau negara lain yang lebih miskin dan kurang maju daripada kita berjaya mengatasi Covid-19, itu bererti kita gagal, sebab orang kita pilih untuk selesaikan masalah itu tidak ada keupayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, oleh kerana negara masih dalam keadaan darurat, Perdana Menteri tidak perlu bimbang mengenai undi tidak percaya dan beliau perlu buat yang terbaik untuk negara.
Beliau berkata, tegurannya terhadap kerajaan dalam mengatasi Covid-19 turut tidak disenangi pihak tertentu.
“Ada pihak mengatakan saya seolah-olah tahu cara yang terbaik (atasi Covid-19). Sebenarnya, kita semua cuba memahami mengapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Kita cuba memahami keputusan mengenai vaksin, prosedur operasi standard (SOP) dan pelaksanaan PKP. Kita semua mahu menolong diri dan masyarakat mengatasi Covid-19, tetapi tindakan, keputusan dan tujuan polisi kerajaan ini mengelirukan. “Kerajaan jelas gagal mengatasi Covid-19, walaupun ada 10 kali PKP selepas ini. Itu sebab rakyat mengkritik,” katanya.
Zaid berkata, sebagai sebuah negara kaya dan mempunyai pemimpin yang cekap dan amanah, sepatutnya kita lebih berupaya dan mampu mengatasi Covid-19, tetapi kita gagal jika dibandingkan dengan negara miskin yang lebih ramai penduduk.
“Kerajaan dan MKN mesti berterus terang dan menerangkan kepada rakyat, apakah sebab sesuatu tindakan itu diambil. Transparency, ini ertinya jelaskan berapa dos vaksin telah kita beli dan berapa lagi yang telah ditempah.
“Rakyat ingin tahu sama ada kita cukup vaksin. Tidak guna kita ada iklan di mana artis menyeru rakyat ambil suntikan vaksin kalau vaksin tidak cukup.
“Beritahu rakyat berapa harga vaksin. Semua ini tidak boleh sulit. Akta Rahsia bukan untuk merahsiakan perkara seperti ini. Apakah kita ada duit untuk setahun lagi? Dalam hal PKP elok seorang sahaja yang bercakap. Kalau Thailand ada Dr Tawisleep untuk memberi keputusan kerajaan, kita ada Dr Noor Hisham. Tidak payahlah menteri-menteri lain keluar TV,” katanya. Beliau berkata, keputusan dasar dan PKP mesti berteraskan fakta dan sains, bukan politik.
“Putrajaya kena berani buat keputusan kalau Covid-19 yang nak dilawan. Keputusan mesti dibuat dan dilaksanakan dengan tegas, barulah rakyat faham,” tegasnya. – Malaysiapost

