Laporan palsu dirogol di pusat kuarantin, ibu tunggal dituduh di mahkamah

0
2

TINDAKAN seorang ibu tunggal membuat laporan polis palsu kononnya dirogol ketika kuarantin di sebuah pusat di Pengkalan Chepa Sabtu lalu, memakan diri apabila dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.

Siti Nashurah Mat Daud, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, dia memberi maklumat palsu kepada anggota polis bahawa dirogol dengan niat tindakan diambil terhadap lelaki berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kaunter Balai Polis Pengkalan Chepa jam 5.58 petang, 1 Mei lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan seksyen sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Malaysiakini melaporkan, ketika kejadian seorang urusetia pusat kuarantin itu mendapati seorang lelaki keluar daripada bilik tertuduh sebelum tertuduh membuat laporan polis mendakwa dirogol empat hari berturut-turut bermula pada 28 April hingga 1 Mei lalu.

Siasatan dan keterangan terhadap mereka mendapati kejadian itu berlaku secara sukarela dan tertuduh mengaku suka terhadap lelaki baru dikenalinya itu.

Tertuduh adalah bekas banduan yang baru selesai menjalani hukuman penjara enam bulan atas kesalahan ugutan jenayah sebelum dimasukkan ke pusat kuarantin tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin yang memohon jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Nik Ab Rahman memohon jaminan minimum memandangkan dia ibu tunggal dan perlu menyara tiga anak.

Mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Jun bagi sebutan semula kes. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here