AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa kawasan dibuat tanpa kajian sains dan data yang tepat.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu, berkata beliau juga tidak pasti apakah kayu ukur yang digunakan kerajaan sebelum membuat keputusan berkenaan.
“Contohnya, pada 4 Mei 2021, kerajaan umumkan PKP di 6 daerah seluruh Selangor (Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang).
“Persoalan timbul, mengapa Kuala Lumpur tidak disenaraikan sekali sedangkan kes di Kuala Lumpur lebih tinggi?,” soalnya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Syed Saddiq berkata, namun lebih mengejutkan apabila semalam, kerajaan secara tiba-tiba mengumumkan Kuala Lumpur dikenakan PKP.
“Tiba-tiba pada 5 Mei 2021, kerajaan umumkan pula Kuala Lumpur sebagai kawasan PKP.
“Adakah keputusan ini dibuat kerana ramai yang meminta penjelasan kerajaan atau ia dibuat mengikut data dan sains?Sekejap macam ini, sekejap macam itu,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Sementara itu, Syed Saddiq berkata, beliau hairan mengapa kerajaan mengenakan PKP yang tertumpu kepada kluster awam semata-mata sedangkan tidak di kawasan kilang.
“Satu lagi, adakah kerajaan sedar bahawa hampir separuh dari Kluster Covid-19 adalah berpunca dari kilang, iaitu 48.06%? Kluster awam yang lain jauh lebih rendah berbanding kilang.
“Tetapi, mengapa tindakan kerajaan umumkan PKP tidak tertumpu kepada kawasan Kilang? Mengapa peniaga dan penjaja bazar pula yang terjejas? Atau mereka yang perlu tutup kedai lebih awal kerana pengumuman PKP?,” soalnya.
Beliau berkata, sekiranya kerajaan bekerja mengikut data, pasti kilang akan menjadi tumpuan usaha melawan Covid-19, malangnya perkara itu tidak berlaku.
Terdahulu Malaysiapost melaporkan, enam daripada sembilan daerah di Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini hingga 17 Mei berikutan peningkatan kes Covid-19.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKP turut dikenakan di Kuala Lumpur bermula esok.
Keputusan itu dibuat selepas meneliti pembentangan serta cadangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

