KADANG kala jadi insan seperti Kuan Chee Heng yang suka membuat kerja amal pun sukar kerana sering berhadapan situasi serba salah dalam menentukan mereka yang perlu diberi bantuan ini betul-betul layak.
Chee Heng atau mesra disapa sebagai Uncle Kentang hari ini berkongsi pengalamannya menerusi Facebook berhubung kisah seorang wanita yang datang menemuinya untuk meminta bantuan menyelesaikan bayaran sewa rumahnya yang tertunggak.
“Saya sedang atur makanan untuk diagihkan dalam lori… Tiba tiba makcik ini muncul di sebelah saya… Katanya dia dari Kajang… Mai cari saya kerana sewa tertunggak dua bulan…
“Katanya dia tak berapa dengar dan telinga rosak. Siap bawa buku untuk tulis apa yang nak disampaikan kepada saya,” kata Uncle Kentang.
Menurut Uncle Kentang, dia menjadi serba salah sama ada untuk terus percaya cerita wanita itu yang tidak tahu hujung pangkal kesahihannya.
“Saya di maklumkan beliau penerima zakat. Saya macam tak percaya dan sangsi. Tapi dari segi pakaian memang ngam orang susah, seluar siap koyak sana-sini. Saya intai kaki dia, kasut rubber murah yang dipakai pun lusuh dan usang.
“Kalau makcik tipu saya, saya terpaksa bagi 100 peratus markah kalaulah dia tipu. Kerana pakaian dia sungguh lusuh. Tapi buku dia macam baru. Tulisan dalam buku pun nampak baru dan tak comot. Kalau dah lama pakai mesti comot,” tulisnya.
Bagaimanapun, Uncle Kentang memilih pendekatan bersangka baik atau husnuzon terhadap wanita itu dalam membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
“Saya ambil posisi husnul zon. Dia kata dia naik bas dari Kajang semata mata menghambat saya untuk membantu dia. Saya letak nombor telepon peribadi saya dekat buku dan saya keluarkan RM300 daripada dana untuk disampaikan.
“Dia kata tak cukup kerana tunggakan sewa RM600. Saya kata tak apa makcik. Nanti ada hamba Tuhan akan beri. Yakin pada Tuhan,” katanya.
Kata Uncle Kentang lagi, berdasarkan firasatnya memang dia tak mahu membantu wanita itu, tetapi dia memilih bersangka baik dan berharap wanita itu tidak menipunya semata-mata mahu mendapatkan wang mudah.
“Kalau ikut instinct memang saya tak nak bagi. Tapi Husnuzon tu lebih dipilih. Saya hanya berdoa pada Tuhan semoga makcik ini cakap benar. Kalau beliau tak benar kita serah pada Tuhan aja lah… Hari ni saya penuh dengan dugaan dan cabaran…. hahahahah,” katanya.
Namun, tinjauan Malaysiapost di ruangan komen hantaran itu, mendapati seorang netizen bernama Ana Izzahana mengesahkan wanita itu memang sedang bergelut dalam meneruskan kelangsungan hidupnya.
“Tq uncle tolong. Sebelum ni kakak Fauziah ada kerja sebagai guard sekolah. Tapi disebabkan masalah telinga dan percakapan tidak berapa jelas, kakak berhenti kerja.
“Sebelum bulan puasa pon kakak berniaga nasi lemak seringgit, tak berniaga di bulan puasa sebab bisnes tak jalan,” kata Ana. -Malaysiapost

