YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada penerjun negara Pandelela Rinong yang meraih emas acara 10 meter platform individu di Kejohanan Dunia semalam.
Menurut kenyataan Istana Negara, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan anak jati Sarawak itu meraih emas pertama buat skuad negara di kejohanan tersebut.
Ia sekali gus melakar sejarah baharu buat sukan terjun negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
“Seri Paduka Baginda menyifatkan pencapaian Pandelela ini sebagai kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia dan suntikan semangat kepada beliau untuk meneruskan buruan pingat di Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini.
“Pencapaian cemerlang penerjun kebangsaan sekali lagi membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.
“Ia juga membuktikan dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia,” kata kenyataan itu, hari ini.
Pada masa sama, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat perjuangan Pandelela menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat, khususnya atlet Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing di dalam negara mahu pun di persada antarabangsa.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Pandelela dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama negara di Olimpik Tokyo,” kata kenyataan itu.
Pandelela yang dalam persediaan ke Tokyo mengungguli acara 10 meter platform individu di Kejohanan Dunia Terjun FINA di semalam selepas meraih 355.70 mata. – Malaysiapost
Foto Kredit: EPA

