Segera tubuh RCI siasat pendedahan Tommy, Hamid-Pemuda Umno

0
2

PEMUDA Umno mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) terhadap pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Ketua Polis Negara,
Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pendedahan mereka berkaitan campur tangan politik dan rasuah dalam institusi menjadi benteng mempertahankan keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara, disifatkan amat serius.

Jelasnya, antara asas utama mewajarkan penubuhan RCI ini adalah penyalahgunaan kuasa dalam pelantikan hakim dan jawatan penting dalam pasukan polis, campur tangan badan eksekutif dan politik melampau dalam badan pengadilan serta pendakwaan terpilih yang bersifat politik.

“Selain itu, amalan rasuah dalam budaya lompat parti dan penghinaan kepada institusi perundangan negara dan keselamatan Negara.

“Ia juga bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi yang memelihara kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata pihaknya juga mendesak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) membenarkan Parlimen kembali bersidang selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Parlimen perlu dibuka kerana ia adalah sistem demokrasi berparlimen dalam pemerintahan negara (perundangan, kehakiman dan eksekutif) tidak lagi berfungsi sebaiknya, khususnya tiang eksekutif yang kini membuat keputusan tanpa mandat Parlimen.

” Akta kewangan juga digantung dan Kerajaan bebas berbelanja tanpa kelulusan Parlimen. Lebih RM600 bilion dibelanjakan dan RM75 bilion pinjaman dilakukan dalam tempoh empat bulan, tanpa Parlimen dikhuatiri berlakunya ketirisan oleh pihak berkepentingan.

“Parlimen sebagai simbol demokrasi dan kestabilan tidak ditonjolkan, ia secara tidak langsung diterjemah kepada ketidakyakinan pelabur untuk membuat pelaburan di dalam negara,” ujarnya.

Pemuda Umno juga mahu penguatkuasaan undang-undang berkaitan pencegahan Covid-19 tidak berasaskan kedudukan dan tiada lagi dwi standard yang menyebabkan kemarahan rakyat semakin memuncak-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here