Pemimpin Korea Utara sihat

0
3

[Dunia] PEMIMPIN Korea Utara, Kim Jong Un kelihatan sihat semasa menghadiri mesyuarat pemimpin kanan di Pyongyang, berikutan spekulasi antarabangsa mengatakan dirinya koma.

Namun hari ini terjawab semua persoalan selepas media rasmi Korea Utara memaparkan Jong Un mempengerusikan mesyuarat tersebut bagi mengeluarkan amaran berhubung pandemik Covid-19 dan bencana taufan.

Laporan itu menyusul selepas agensi perisik Korea Selatan memberitahu, beliau menyerahkan sebahagian kuasa kepada kakaknya, Kim Yo Jong.

Bekas pembantu kepada mendiang Presiden Korea Selatan, Kim Dae Jung menerusi satu hantaran di Facebook turut mendakwa, Pemimpin Korea Utara itu berada dalam keadaan koma walaupun tiada bukti kukuh mengenainya.

Sementara itu, agensi berita rasmi KCNA melaporkan, Jong Un mempengerusikan mesyuarat semalam dan bercakap mengenai kelemahan pada usaha kecemasan menangani Covid-19 selain persediaan menghadapi taufan Bavi yang dijangka melanda negara itu minggu ini.

Selain itu akhbar Rodong Sinmun memaparkan Jong Un sedang mempengerusikan mesyuarat dengan mengenakan sut berwarna putih dan menghisap rokok.

Malah, beliau menegur beberapa kelemahan dalam usaha mencegah dan menggesa pendekatan lebih kukuh diambil bagi mengatasi kekurangan itu, lapor KCNA.

Bulan lalu, Pyongyang melaksanakan perintah berkurung ke atas bandar Kaesong, berhampiran sempadan Korea Selatan selepas mengesyaki seorang penduduk membawa virus berkenaan.

Perintah itu ditamatkan awal bulan ini walaupun jangkitan terbabit tidak pernah disahkan. – Malaysiapost