81 individu ditahan ingkar PKP

0
2

Nurul Huda Abhar

Seramai 59 individu dikompaun manakala 22 lagi direman kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesalahan gagal menyediakan peralatan dan catitan keluar masuk pelanggan di premis perniagaan menjadi penyumbang tertinggi apabila 31 orang dikenakan tindakan.

“Antara kesalahan lain ingkar arahan PKP termasuklah tidak memakai pelitup muka (16), aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (24), premis beroperasi lebih masa (4), serta tangkapan Pendatang Tanpa Izin (PATI) (6),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata pihak berkuasa semalam membuat pemantauan di 3,926 pasar raya, 5,269 restoran, 1,337 penjaja, 1,671 kilang, 3,731 bank, dan 1,073 pejabat kerajaan.

Juga dipantau, katanya, 1,183 terminal pengangkutan darat, 240 terminal pengangkutan air serta 114 terminal udara.

Sementara itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan 62 sekatan jalan raya Operasi Benteng dan memeriksa 28,481 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI, dan berjaya menahan empat warga asing atas kesalahan imigresen.

“PDRM juga mengadakan 298 pemeriksaan terhadap indvidu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

“Kesemua individu yang dikuarantin telah mematuhi peraturan operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” ujarnya. -MalaysiaPost