Kerana diselubungi rasa “takut”, Mawar Rashid kini berhijab

0
3

Nurul Huda Abhar

SAYA takut tak dapat keredhaan dari Allah, kata pelakon, Mawar Rashid yang kini telah berhijrah mengenakan hijab.

Mawar, 25, mengakui perasaan takut adalah sebab utama dia mengambil keputusan untuk berubah.

“Takut tak dapat keredhaan dari Allah Swt dan Rasulullah. Takut dengan balasan yang Mawar akan dapat. Takut akan jadi punca berjauhan dengan Allah Swt.

“Takut nanti orang terikut-ikut benda tak betul yang Mawar buat. Doakan Mawar jadi muslimah yang beriman di hadapan Allah, doakan Mawar untuk istiqomah juga,” tulisnya dalam hantaran di Instagram.

Mawar yang pernah menyertai program realiti Dewi Remaja mengambil keputusan untuk memakai hijab sempena ketibaan bulan Muharam, Jumaat lalu.

Pelakon drama TQ Captain itu juga mengucapkan terima kasih dan terharu apabila mengetahui terdapat peminat yang menjadikan momen penghijrahannya sebagai inspirasi.

“Terima kasih semua yang mendoakan Mawar. Ramai sangat yang DM (Direct Message), WhatsApp peribadi Mawar.
Terharu sangat-sangat bila awak semua doakan Mawar.

“Ada yang cakap terima kasih sebab bagi inspirasi. Lagilah Mawar terharu. Siapalah Mawar. Mawar pun hamba Allah yang banyak sangat kekurangan dan baru nak menutup aurat,” katanya.

Menurut isteri kepada pelakon Raf Yaakob itu, dia mengharapkan semua peminat dipermudahkan segala urusan dan mendoakan mereka sentiasa di bawah lindungan Allah Swt.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Raden Muhammad Rafael berusia setahun lapan bulan.

Mawar kini hamil anak kedua turut mempunyai dua anak tiri berusia lapan dan empat tahun, hasil perkahwinan Raf bersama bekas isteri. – Malaysiapost