PRN Sabah: Anak Kampung’ mahu cuba nasib di Tambunan

0
3

Awang Abdullah

SELEPAS penyanyi Macam Di KK’, kini seorang lagi artis tempatan Sabah tampil menyatakan hasrat bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan depan.

Jimmy Palikat yang pernah popular dengan lagu Anak Kampung’ memilih untuk mencuba nasib di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan.

Ketika dihubungi, Jimmy, 42, berkata beliau kemungkinan bertanding atas tiket Bebas kerana tidak mahu terikat mana-mana parti.

Meskipun menyedari terpaksa berdepan nama besar’ seperti Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang menyandang kerusi itu, beliau menjelaskan misinya ialah untuk mengetengahkan bakat sebagai orang muda.

“Saya sedar pengaruh Jeffrey di Tambunan, lebih-lebih lagi beliau Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan tetapi bagi saya beliau sama saja dengan abangnya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, mereka sudah veteran.

“Apa salahnya rakyat Tambunan beri peluang kepada orang muda seperti saya untuk mewakili suara mereka. Lagipun Jeffrey masih lagi Ahli Parlimen Keningau jika tidak bertanding pada PRN ini,” katanya.

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) memenangi DUN Tambunan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 selepas mengalahkan Barisan Nasional (BN) diwakili Pairin yang menyandang kerusi berkenaan selama 42 tahun sejak 1976.
Beberapa hari lalu, Jeffrey mengesahkan akan mempertahankan kerusi DUN Tambunan pada PRN bulan depan.

Berbeza dengan penyanyi `Macam Di KK’, Janrywine J Lusin yang menyatakan mahu bertanding di DUN Kawang untuk memperjuang nasib golongan orang seni, Jimmy pula mahu bertukar bidang dan berjuang untuk pembangunan Tambunan.

“Saya mahu meninggalkan dulu bidang nyanyian dan tumpu kepada politik kerana kerjaya sebagai artis ketika musim Covid-19 sekarang tidak mampu menyara hidup kerana tidak dapat buat persembahan.

“Walaupun ada banyak lagu baru yang mahu dibuat tetapi dalam keadaan sekarang agak sukar untuk mempopularkannya, tidak seperti ketika saya mula-mula menghasilkan lagu Anak Kampung dulu.

“Memandangkan berlaku PRN, saya mahu mencuba bidang politik pula kerana mahu menyumbang sesuatu kepada kampung saya iaitu Tambunan,” katanya.

Jimmy juga pernah bekerja sebagai kontraktor selepas bidang nyanyian yang diceburinya lebih 10 tahun lalu semakin kurang memberi pulangan.

Beliau juga pernah mengumumkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), namun membatalkan hasrat kerana mahu meneruskan kerjaya sebagai penyanyi.

Katanya, sebagai orang muda beliau kecewa dengan keadaan Tambunan ketika ini yang tidak banyak beza dengan 10 tahun atau 20 tahun lalu kerana kurang pembaharuan dilaksanakan pemimpin sebelum ini.

Jimmy yang berasal dari Kampung Papar, berkata beliau malu apabila orang luar yang datang ke daerah itu sering berkata tiada perubahan kelihatan walaupun ia pernah diwakili pemimpin yang memegang jawatan Ketua Menteri Sabah.

“Pairin dulu pernah jadi Ketua Menteri ketika zaman Parti Bersatu Sabah (PBS) lepas itu Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur ketika menyertai BN tetapi Tambunan tidak banyak berubah.

“Bukan mahu menyalah atau menafikan, memang ada juga pembangunan tetapi saya lihat tugas mereka yang berat selaku pemimpin negeri selain menjadi Ahli Parlimen menyebabkan perhatian di Tambunan terpaksa dibahagikan.

“Kalau diberi peluang mewakili Tambunan kali ini, saya yakin isu perhatian untuk Tambunan seperti berlaku sekarang dan sebelum ini tidak lagi timbul,” katanya.

Jimmy bagaimanapun berkata keputusannya untuk bertanding akan dimuktamadkan pada 7 atau 8 September depan, selepas selesai pendengaran kes rayuan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar pembubaran DUN yang difailkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman. – MalaysiaPost