Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menggesa
KERAJAAN Pahang digesa menjadikan pengusaha ladang durian sebagai rakan kongsi strategik, bukan meminggirkan serta menghalang mereka dengan mengepung kawasan ladang menggunakan anggota keselamatan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang, Fuziah Salleh berkata durian Musang King kini merupakan ‘emas baharu’ dan terbukti mampu menyumbang kepada ekonomi pertanian di tahap global.
Katanya, Pahang cukup bertuah kerana mempunyai tanah subur di Raub yang membolehkan durian jenis musang king dari Pahang antara yang terbaik dari segi kualiti serta mampu meraih harga tinggi dan mendapat tempat sebagai pasaran eksport.
“Kita juga bernasib baik kerana mempunyai sekumpulan pengusaha penanam durian yang telah mencurah titik peluh selama lebih 30 tahun dan kini melibatkan generasi kedua sehingga dapat menghasilkan durian jenis musang king diiktiraf dunia.
“Walaupun mereka bermula dengan meneroka di tanah kerajaan, namun bukan sedikit yang dilaburkan selama ini.
“Kini tiba masanya kerajaan negeri mencari jalan yang membawa keuntungan kepada kerajaan dan pada masa sama tidak meminggirkan pengusaha ladang yang bertungkus lumus selama ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata formula bagaimana kerajaan negeri boleh mengutip hasil yang dikongsi bersama dengan pengusaha mestilah diterokai.
“Model perniagaan strategik antara pekebun dengan kerajaan di negara lain boleh juga dijadikan pedoman dan garis panduan,” katanya.
Beliau menambah tindakan mengepung kawasan ladang dengan meletakkan anggota keselamatan merupakan tindakan yang keterlaluan.
“Selama ini mereka mengusaha tanah kerajaan tanpa bantuan. Kini bila nampak membuahkan hasil lumayan, maka kerajaan negeri bertindak demikian,” katanya.
“PH dan PKR Pahang menyeru kepada kebijaksanaan kerajaan negeri dalam menangani isu ini. Jangan sampai usaha pekebun selama 30 tahun jadi sia- sia.
“Tentu sekali boleh dicari jalan penyelesaian menang-menang. Janganlah sampai yang menang ambil semua dan yang kalah rugi segalanya,” katanya.
Kelmarin, sekumpulan pekebun durian yang diancam pengusiran berkumpul di pasar Sungai Klau di Raub, bagi memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong bagi menyelesaikan isu itu.
Mereka yang mengusahakan tanaman durian atas tanah kerajaan tanpa kebenaran, memegang pelbagai sepanduk dan melaungkan slogan meminta kebun mereka diselamatkan. – MalaysiaPost

