“USAH putus asa untuk terus pandang ke hadapan,” demikian pesan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada sekumpulan remaja hamil bawah umur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menyantuni remaja berkenaan ketika melawat ke Rumah Bonda di ibu negara semalam.
Rumah Bonda adalah rumah perlindungan yang menempatkan remaja hamil bawah umur dan bayi terbuang.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Zulkifli berkata ketika kunjungannya semalam, beliau turut berpesan kepada remaja berkenaan agar sentiasa berpaut kepada agama-Nya.
“Insya-Allah segala urusan akan dipermudahkan. Apa yang telah berlaku, mungkin sahaja satu dari episod kehidupan yang ditentukan Allah SWT untuk melihat diri kita selangkah lebih mendekati-Nya.
“Saya sayang mereka semua dan anak-anak kecil ini. Indah-Nya rahmat Allah SWT, kasih-Nya tidak pernah memilih.
“Mereka juga perlu sokongan anda semua di luar sana. Saya akan kembali lagi ke sini, insya-Allah,” tulisnya.

Dalam kunjungan itu, beliau diiringi Penasihat Rumah Bonda yang juga aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi.
Zulkifli berkata pada mulanya beliau tidak dapat menggambarkan apa itu Rumah Bonda, adakah pusat perlindungan, pusat transit mahupun pusat penjagaan kanak-kanak?
“Setibanya di sana, saya terkesima. Terasa ketat di dada. Rasa sebak dan terharu datang tiba-tiba. Rumah Bonda adalah sememangnya sebuah “rumah” yang indah.
“Saya disambut para ibu muda dan bayi-bayi yang comel. Melihat wajah jernih anak-anak ini, saya rasa amat gembira kerana wujudnya Rumah Bonda sebagai tempat mereka berteduh.
“Tuan Syed Azmi membawa saya meninjau dapur. Bersih dan penuh bekalan makanan. Rumah tersusun kemas.
“Apa yang berbezanya dengan rumah biasa adalah, Rumah Bonda menempatkan remaja hamil bawah umur dan bayi terbuang,” katanya.
Beliau menjelaskan Rumah Bonda sama seperti Darussadah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang juga menyediakan tempat perlindungan kepada remaja hamil bawah umur dan bayi terbuang. – Malaysiapost

