Seminggu sambutan Aidilfitri di Sarawak

0
2

ZIARAH hari raya Aidilfitri di zon Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak dibenarkan dari 1 hingga 7 Syawal.

Bagaimanapun, hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan menziarah dengan 50 peratus kapasiti mengikut saiz rumah dalam sesuatu masa dengan penjarakan fizikal.

Perkara itu dimaklumkan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS) melalui garis panduan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan aktiviti ziarah kubur di seluruh Sarawak yang dikeluarkan hari ini.

Menurut MIS, Aidilfitri adalah hari kemenangan dan disambut seluruh umat Islam setelah berakhirnya Ramadan, namun dalam keadaan wabak Covid-19 masih menular, rakyat perlu mematuhi arahan kerajaan.

“MIS menyeru semua umat Islam di Sarawak agar mematuhi arahan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan perkara yang diputuskan oleh MIS sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri,” menurut kenyataan dikeluarkan MIS hari ini.

MIS memaklumkan, antara aktiviti yang dibenarkan bagi sambutan Aidilfitri adalah takbir raya di masjid dan surau mulai selepas solat Maghrib 1 Syawal hingga 10 malam dan selepas solat Subuh hingga bermula solat sunat Aidilfitri.

“Solat sunat Aidilfitri dibenarkan di masjid, surau, musolla dan premis yang mendapat kebenaran MIS sahaja dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan sebelum ini termasuk jumlah jemaah,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, bagi aktiviti yang tidak dibenarkan adalah membabitkan jamuan selepas solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau, namun agihan makanan berbungkus dibenarkan.

Aktiviti takbir dari rumah ke rumah dan rumah terbuka serta tahlil selepas solat sunat Aidilfitri juga tidak dibenarkan.

“Di zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) semua aktiviti sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah tidak dibenarkan termasuk solat sunat Aidilfitri, ziarah hari raya dan ziarah kubur,” menurut kenyataan itu lagi.

MIS juga memaklumkan akan mengubah atau meminda garis panduan sambutan hari raya itu dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here