USAHAWAN dan selebriti popular Neelofa serta suaminya PU Riz sudah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai berhubung dakwaan merentas negeri ke premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan di Nilai 3, Negeri Sembilan.
Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Datuk Che Zakaria Othman.
Menurutnya, siasatan akan dilakukan mengikut perundangan yang ada dan tiada sebarang keistimewaan diberi terhadap pasangan berkenaan.
“Saya telah dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley An Rahman yang pasangan ini telah dipanggil beri keterangan hari ini untuk mengetahui sama ada mereka telah mendapat kebenaran dari polis untuk merentas negeri.
“Siasatan yang dilakukan polis sama sahaja dan tiada bezanya antara selebriti, orang awam atau orang kampung,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir pada Majlis Sumbangan Bubur Lambuk oleh Persatuan Bekas Pegawai Kanan Polis Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana perkara itu masih dalam siasatan polis.
Menurutnya, turut hadir memberi keterangan iaitu pemilik dan seorang pekerja kedai permaidani.
Sabtu lalu, tular video berdurasi 15 saat dipercayai dimuat naik Neelofa di laman Instagram (IG) Story, memaparkan dirinya dan suami berada di sebuah kedai dipercayai di Pusat Borong Nilai 3 di Nilai, Negeri Sembilan.
Beberapa pengguna laman sosial Twitter turut mendakwa terlihat pasangan terbabit di Nilai 3 dan mempersoalkan tindakan mereka merentas negeri.
Pada 26 April lalu, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya Haris Ismail dikenakan kompaun RM20,000 dan RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Seramai 20 ahli keluarga Neelofa turut dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM30,000 kerana tiada penjarakan fizikal ketika majlis akad nikah pasangan terbabit. – Malaysiapost

