Bayi maut jatuh tingkat 3

0
2

SEORANG bayi perempuan berusia 11 bulan maut selepas terjatuh dari tingkat tiga Blok D, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Aman, Sentul, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu yang berlaku kira-kira jam 6 petang.

Menurutnya, mangsa dikatakan sedang bermain bersama abang, kakak dan sepupunya di atas katil bersebelahan dengan tingkap dalam bilik rumah itu.

“Siasatan mendapati tingkap di dalam bilik tersebut tidak mempunyai pagar dan katil diletakkan di tengah tingkap tanpa sebarang halangan.

“Pengadu memaklumkan katil itu telah dirapatkan ke tingkap untuk mengemas bilik tersebut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Eng Lai berkata, siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam insiden itu.

“Ibu mangsa telah membawa anaknya ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan, namun bayi berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan apabila tiba di Unit Kecemasan hospital berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mayat dihantar ke Unit Forensik hospital itu untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.

“Hasil laporan bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada kecederaan parah di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-4048 2206, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here