SOP Aidilfitri, rentas daerah dijangka diumumkan hari ini

0
1

HARI ini pasti mendebarkan bagi sebahagian besar rakyat Malaysia, khususnya umat Islam apabila kerajaan dijangka mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan Aidilfitri. 

Semalam pejabat Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sidang media yang ditunggu-tunggu itu akan diadakan pada petang ini.

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bermesyuarat semalam bagi memutuskan SOP sambutan Aidilfitri. 

SOP yang akan dikeluarkan itu adalah berdasarkan cadangan serta nasihat Kementerian Kesihatan (KKM). 

Antara SOP yang dijangka diumumkan adalah berkenaan ziarah Aidilfitri iaitu jumlah tetamu, ziarah perkuburan serta takbir di masjid dan rumah ke rumah. 

Aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai seperti rumah terbuka dan kenduri-kendara sepanjang Aidilfitri dijangka tidak dibenarkan. 

Turut menjadi tumpuan sama ada kerajaan akan melarang pergerakan rentas daerah sepanjang perayaan tersebut dalam usaha mengekang penularan Covid-19. 

Jumaat lalu, ketika sitanya media sama ada SOP sempena sambutan Aidilfitri bakal memutuskan berhubung sekatan rentas daerah memandangkan kes harian Covid-19 melonjak tinggi, Ismail Sabri berkata, perkara itu bergantung kepada cadangan dan nasihat KKM. 

“Kita lihat kes semakin meningkat, malah Selangor mencatatkan lebih 1,000 kes selain peningkatan di negeri lain. (Kes kumulatif) seluruh Malaysia pun naik daripada lebih 2,000 kepada lebih 3,000 kes,” katanya. 

Sejak beberapa hari lalu, terdapat khabar angin menyatakan kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. 

Selain itu, terdapat laporan menyebut PKP akan dilaksanakan di beberapa negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak susulan peningkatan kes di kesemua negeri berkenaan. 

Sudah pasti soal sama ada negeri-negeri berkenaan akan dikenakan PKP turut menjadi perhatian hari ini. 

Bercakap kepada Malaysiapost di Bera Sabtu lalu, Ismail Sabri menafikan PKP 3.0 akan dilaksanakan sebaliknya beliau berkata kerajaan mungkin akan melaksanakan PKP secara bersasar dan bukan keseluruhan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here