HANYA lima daerah di Semenanjung berada dalam zon hijau setakat semalam, menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan (KKM).
Berdasarkan infografik dikeluarkan pusat berkenaan, lima zon hijau tersebut ialah dua di Kedah iaitu Sik dan Yan, dua di Terengganu iaitu Kemaman dan Hulu Terengganu.
Satu lagi daerah zon hijau Covid-19 di Semenanjung ialah Jelebu di Negeri Sembilan.
Pada masa sama, Semenanjung mempunyai 20 daerah zon kuning dengan tujuh daripadanya di Pahang, selain enam zon jingga manakala 58 zon merah.
Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka menyaksikan semua daerah berada dalam zon merah, manakala di Johor dan Kelantan hanya satu zon kuning manakala daerah lain zon merah.
Sementara itu di Sarawak tiada satu pun zon hijau direkodkan dengan 24 daerah zon merah, empat zon jingga dan 12 zon kuning.
Sabah pula masih mempunyai enam zon hijau, 10 zon kuning, empat zon jingga serta tujuh zon merah.
Zon merah mempunyai lebih daripada 40 kes positif virus berkenaan dalam tempoh 14 hari, kawasan yang mempunyai 21 hingga 40 kes positif dirujuk sebagai zon jingga.
Zon kuning pula merujuk kepada kawasan yang mempunyai satu hingga 20 kes positif, manakala zon hijau adalah kawasan yang tiada kes positif. – Malaysiapost

