PENCERAMAH terkenal, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan tujuan beliau pergi ke majlis tahnik anak Datuk Seri Nurhaliza adalah atas dasar persahabatan bersama Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K.
Azhar berkata, beliau dan Datuk K sudah berkawan selama tiga tahun, malah sikap keprihatinan suami Siti Nurhaliza itu yang sudi melawatnya ketika sakit membuatkan dirinya mahu membalas balik budi tersebut.
“Panas gak aku.. dia kata artis panggil.. bukan artis, Datuk K tu saing (kawan) kita, tiga tahun dah bersaing sejak 2018 tapi kita tak sukalah ambil gambar dia, tunjuk… memang tak tunjuklah, faham?
“Jadi tiga kali saja dia minta mari rumah… bila kita ke Kuala Lumpur, marilah minum air di rumah, faham?
“Yang ketiga ni kita segan juga sebab kita sakit dia mari, dua jam datang ziarah, dia dari Kuala Lumpur datang (Terengganu semata-mata) tengok kita sakit jadi kita balas.. faham?,” katanya menerusi satu video hari ini.
Jelasnya, beliau tidak mahu ke majlis tersebut kerana sibuk dan bersama kru sekali gus risau menyusahkan, namun Datuk K berharap kedatangannya ke majlis tersebut.
Justeru, katanya atas dasar persahabatan terjalin, beliau pergi ke majlis berkenaan.
“Saya sibuk ada hal, saya pergi ramai bergerak dengan kru tapi dia kata pukul berapa datang boleh minum air rumah dia.
“Kita bersaing dengan Datuk K bukan dengan Siti… Apa kena mengena bersaing dengan Siti pula, jadi tak apalah, saya pergi lepas terawih, sampai situ majlis tak habis lagi.
“Jadi anak kawan kita dia suruh doa.. ada mana-mana kata tak boleh.. ada doa kalau pergi ke Kuala Lumpur tak boleh pergi rumah kawan.. tak ada,” katanya.
Hari ini, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengatakan keperluan menziarahi ibu bapa mengatasi keperluan yang lain termasuk undangan artis
“Saya rasa jika hendak dibandingkan pasti keperluan menziarahi ibu bapa melebihi dari keperluan memenuhi undangan artis,” tulisnya menerusi Twitter.
Namun, tidak dipastikan hantaran Mohd Asri itu ditujukan kepada pihak siapa.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata pihaknya akan memanggil penganjur majlis tahnik anak Siti Nurhaliza bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurutnya, pada jam 11.24 pagi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya mengesan satu artikel berkaitan ketidakpuasan hati netizen dalam satu majlis yang diadakan seorang selebriti tanah air di kediamannya di Bukit Antarabangsa.
“Terdapat juga beberapa gambar di dalam artikel menunjukkan kehadiran beberapa individu kenamaan dan penceramah agama terkenal ke majlis berkenaan.
“Susulan itu, IPD Ampang Jaya menerima satu laporan polis berkaitan isu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – Malaysiapost

