VAKSIN jenis Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca akan diberikan kepada jemaah Malaysia yang dipilih mengerjakan ibadah haji tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkaitan perkara itu.
“Menerusi perbincangan ini, semua jemaah akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech sekiranya bekalan mencukupi. Sekiranya tidak, vaksin AstraZeneca akan digunakan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas penyampaian sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan di Hospital Kuala Lumpur hari ini.
Mengenai perkembangan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan haji dan umrah, Zulkifli berkata, perkara itu akan dibawa ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas kerajaan Arab Saudi membuat keputusan berkaitan pelaksanaan ibadat itu.
Arab Saudi ketika ini belum membuat sebarang keputusan mengenai ibadat haji dan umrah musim ini dan negara itu hanya mengiktiraf vaksin Covid-19 jenama Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca. – Malaysiapost

