Rentas negeri beli karpet, polis akan panggil Neelofa, suami

0
1

POLIS akan memanggil usahawan dan selebriti popular, Neelofa dan suami, PU Riz untuk memberi keterangan berhubung dakwaan mereka merentas negeri untuk membeli karpet di Pusat Perniagaan di Nilai 3.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata Neelofa atau nama sebenar, Noor Neelofa Mohd Noor, 32, dan PU Riz atau Haris Ismail, 26, akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dalam masa terdekat.

“Kami telah menjalankan siasatan berkaitan penularan gambar dan video membabitkan selebriti berkenaan dan suaminya di laman sosial dipercayai berada di sebuah premis menjual karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3.

“Sehubungan itu, mereka akan dipanggil ke IPD ini dalam masa terdekat untuk memberi keterangan berkaitan perkara berkenaan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat NO. 4) 2021.

“Siasatan juga akan dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Terdahulu, video berdurasi 15 saat dimuat naik Neelofa di Instagram (IG) Story, memaparkan dirinya dan suami berada di kedai menjual permaidani dipercayai di Pusat Borong Nilai 3 di Nilai, Negeri Sembilan.

Beberapa pengguna Twitter turut mendakwa melihat pasangan terbabit di Nilai 3, sekali gus menghangatkan lagi spekulasi mereka melakukan kesalahan rentas negeri.

Neelofa dan PU Riz sebelum ini masing-masing dikompaun RM20,000 dan RM10,000 atas kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here