RAMAI yang sudah mula mengabaikan atau leka dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kawalan dan pencegahan Covid-19 terutama dalam merekodkan butiran diri sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau buku pendaftaran.
Ini terbukti apabila seramai 207 individu ditahan semalam atas kesalahan gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata secara keseluruhan seramai 519 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP.
Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 508 individu dikompaun manakala 11 lagi direman.
“Antara kesalahan lain direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (72), aktiviti pusat hiburan (60), tidak memakai pelitup muka (50) dan lain-lain kesalahan (130),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, menurutnya bagi kawalan sempadan negara melalui Operasi Benteng (Op Benteng) semalam telah berjaya menangkap dua penyeludup dan merampas dua kenderaan darat.
“Sebanyak 175 bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui tujuh (7) aktiviti penglihatan,” katanya. – Malaysiapost

