‘Perginya dalam sujud terakhir’

0
2

SEORANG jemaah di Masjid Nurul Huda, Kampung Sungai Kelambu, Peserai di Batu Pahat rebah dalam sujud terakhirnya ketika menunaikan solat sunat di masjid berkenaan pada malam Sabtu.

Difahamkan, kejadian itu disedari jemaah masjid yang kehairanan apabila melihat Abd Hamid Salleh, 67, bersujud terlalu lama, sebelum rebah ketika menunaikan solat kira-kira jam 9 malam.

Allahyarham bagaimanapun disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu oleh seorang jemaah yang juga petugas kesihatan.

Anaknya, Nurfadhilah Abd Hamid berkata, kejadian itu hanya diketahui sebaik sahaja dimaklumkan oleh jemaah masjid yang datang ke rumahnya.

“Sebaik mendapat khabar itu, kami bergegas ke sana dan melihat ayah sudah meninggal dunia sebelum polis dan pihak kesihatan hadir untuk proses selanjutnya,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Nurfadhilah berkata, walaupun masih terkejut dengan pemergian arwah, dia dan keluarga reda dan mengharapkan pemergian ayahnya yang juga pesara Telekom Malaysia dalam keadaan ‘khusnul khatimah’.

Menurutnya, ketika hayat ayahnya banyak menghabiskan masa di masjid selepas bersara selain mengusahakan kelapa sawit.

“Setiap hari ayah akan ke masjid pada setiap waktu dari Subuh hingga ke Isyak. Pada Ramadan pula, biasanya ayah berbuka ala kadar dan bergegas ke masjid untuk solat Maghrib, sebelum balik ke rumah untuk sambung makan.

“Selepas itu dia akan ke masjid sekali lagi untuk solat Isyak dan tarawih. Itulah rutinnya dan kami sangat faham. Walaupun ayah pergi ketika kita hampir menyambut hari raya, kami sekeluarga reda kerana ayah pergi dalam keadaan mudah dan dalam bulan mulia.

“Alhamdulillah, tiada rasa ralat kerana kami percaya dengan aturan Allah SWT. Impian ayah untuk menunaikan haji setelah dua kali tertangguh juga dapat direalisasikan pada tahun 2019, sebelum wabak Covid-19 melanda,” katanya.

Tambahnya, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kelambu, Peserai semalam, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan mengenai kes berkenaan. – Malaysiapost

Foto Kredit: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here