Pesakit kanser tahap tiga balik raya dengan helikopter

0
2

HASRAT seorang pesakit kanser otak tahap tiga yang mahu pulang beraya di kampung halamannya di Kampung Bukit Hijau, Mukim Derang dekat Pokok Sena direalisasikan dalam satu penerbangan ihsan menggunakan helikopter dari Langkawi jam 11 pagi semalam.

Usaha digerakkan aktivis masyarakat, Natipah Abu, 38, itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk bilionair yang juga Pengarah Urusan Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim untuk membantu Noraifa Azira Abdul Aziz, 14.

Menurut Natipah, kerja kebajikan itu juga mendapat kerjasama Briged Sukarelawan 1Malaysia (BS1M) Sik dan Bomba Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (YJM) yang membantu memindahkan Nuraifa sebaik tiba di Padang Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau kira-kira 12 tengah hari dan dibawa dengan ambulans ke kampung halamannya.

“Noraifa menyatakan hasrat beraya di rumah datuk dan neneknya, Azmi Harun, 63, dan Siti Hawa Osman, 63, di Kampung Bukit Hijau pada minggu lalu. Setiap hari dia tanya ibunya bila dapat balik kampung kerana sudah tiga tahun tidak dapat pulang beraya.

“Saya terharu kerana pelbagai pihak membantu menunaikan hajat Noraifa termasuk Setiausaha Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Datuk Kamil Din; pihak sekolah di Langkawi dan SK Bukit Hijau kerana membenarkan menggunakan padang untuk helikopter mendarat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Jelas Natipah, pengangkutan awam seperti feri dan perkhidmatan feri Roll On-Roll Off (RoRo) dilihat tidak sesuai kerana mengambil tempoh lama, tidak selesa selain perlu mengurangkan pergerakan Noraifa semasa dalam perjalanan pulang ke Pokok Sena.

Sementara itu, ibu Noraifa, Roslina Aswira, 38, berkata kegembiraan jelas terpancar di wajah anak sulung daripada lima beradik itu sebaik tiba di kampung halamannya.

“Dia mula dikesan menghidap penyakit ini semasa berusia 8 tahun dan pembedahan dilakukan untuk membuang ketumbuhan di kelenjar otak, selepas itu dia kembali sembuh dan pergi sekolah seperti biasa.

“Namun pada usia 11 tahun, penyakit kembali dikesan dan ketumbuhan itu tidak hilang dan didapati membesar sedikit demi sedikit.

“Nuraifa mula terlantar sejak berusia 13 tahun dan sehingga kini. Sejak itu, dia tidak dapat bergerak termasuk tidak dapat balik ke kampung sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, pertolongan dihulurkan pihak berkaitan itu juga meringankan beban suaminya, Abdul Aziz Din, 43, yang bekerja sebagai mekanik dan memperoleh pendapatan sekitar RM1,000 sebulan.

Sabtu lalu, tular kenyataan Natipah di Facebook yang memohon bantuan mana-mana pihak merealisasikan impian Noraifa yang terlantar selepas menghidap kanser otak tahap tiga. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here