PELAJAR Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mula dihantar pulang kampung sempena Aidilfitri, Jumaat ini hingga 12 Mei.
Penghantaran itu dijangka membabitkan lebih 16,000 pelajar dari seluruh kampus, kata Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM menerusi kenyataan hari ini.
Bagi tujuan tersebut, ia memaklumkan akan menyediakan lebih 200 kenderaan melibatkan bas, kenderaan pelbagai guna (MPV) serta kereta.
Menurut kenyataan itu, penghantaran pulang pelajar akan membabitkan keseluruhan 30 kampus, disertai lebih 700 kakitangan.
“Pihak UiTM akan mengagihkan bilangan kenderaan yang diperlukan semua kampus mengikut zon setelah kesemua pelajar melengkapkan borang selidik yang telah diedarkan,” menurut kenyataan itu.
Proses penghantaran pulang pelajar turut melibatkan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Perwakilan Kolej serta pelbagai jabatan bagi memastikan kelancaran dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Bagi yang memilih untuk terus tinggal di kampus, pihak UiTM akan terus menyantuni mereka sebaik mungkin agar suasana Aidilfitri turut dirai bersama, menurut kenyataan terbabit. – Malaysiapost

