500 ditahan ingkar SOP

0
2

MASIH ramai yang gagal mendisplinkan diri untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kawalan dan pencegahan Covid-19.

Ini terbukti apabila 500 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seramai 489 individu dikompaun manakala 11 lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan adalah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (215), aktiviti pusat hiburan (77) dan tiada penjarakan fizikal (55).

“Kesalahan lain ialah tidak memakai pelitup muka (53) dan lain-lain (100),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi kawalan sempadan negara melalui Operasi Benteng (Op Benteng) semalam pula berjaya menangkap tujuh orang pendatang asing tanpa izin dan merampas lima kenderaan darat.

“Sebanyak 125 bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui 12 aktiviti penglibatan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kuarantin wajib yang dikenakan semalam adalah seramai 1,095 terhadap individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa.

“Secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, seramai 192,479 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 71 hotel dan sembilan Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,937 individu telah dikuarantin dan 182,775 orang dibenarkan pulang manakala 1,767 lagi dibawa ke hospital,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here