TIADA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Selangor bermula 4 atau 5 Mei ini seperti ditularkan dalam satu mesej di media sosial sejak semalam.
Perkara itu disahkan Sekretariat Akhbar Datuk Menteri Besar Selangor yang memaklumkan mesej tular itu adalah palsu.
“Kami mengesahkan bahawa mesej tersebut adalah palsu,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Mesej yang tular di media sosial itu adalah berkaitan keputusan dan cadangan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor, bertarikh 1 Mei berkaitan PKP seluruh Selangor dan cadangan berkaitan sekolah serta justifikasi atas keputusan tersebut.
Selangor telah mencatatkan kes tertinggi Covid-19 beberapa hari berturut-turut sejak Selasa (27 April) daripada 2,733 kes baharu yang dilaporkan, Selangor catat kes tertinggi dengan 750 kes, Rabu (28 April), daripada 3,142 kes baharu, Selangor mencatat kes tertinggi (1,019 kes) dan Khamis (29 April) daripada 3,332 kes baharu, Selangor adalah tertinggi dengan 1,083 kes.
Pada Jumaat (30 April) juga daripada 3,788 kes baharu, Selangor mencatatkan yang tertinggi dengan 1,265 kes dan Sabtu (1 Mei) daripada 2,881 kes baharu, Selangor mencatatkan yang tertinggi dengan 759 kes.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah mengadakan mesyuarat dengan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negara bagi Negeri Selangor pada 30 Mei lalu bagi meneliti semula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor. – Malaysiapost

