PKPD sekolah agama Tumpat ditamatkan hari ini

0
1

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sebuah sekolah agama di Tumpat, Kelantan ditamatkan hari ini. 
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penamatan PKPD itu adalah membabitkan Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung. 
Menurutnya, penamatan itu adalah lebih awal daripada tarikh dijadualkan  iaitu 13 Mei ini. 
“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di SMU (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung yang dijadualkan tamat pada 13 Mei ini. 
“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 329 ujian saringan, 181 daripadanya disahkan positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 
Beliau berkata, terdapat penurunan kes di lokaliti itu dan kluster adalah terkawal, manakala semua kes positif telah diasingkan dan dimasukkan ke pusat kuarantin. 
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di SMU (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, pada hari ini, lebih awal daripada yang dijadualkan,” katanya. 
Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan juga bersetuju menamatkan PKP di dua kawasan di Johor iaitu di Mukim Endau dan Triang, Mersing mengikut jadual ditetapkan esok. 
“KKM telah merekodkan tiga kes positif Covid-19 hasil daripada 202 keseluruhan ujian saringan di kedua-dua lokaliti tersebut dan  trend kes juga telah menurun dengan kluster adalah terkawal. 
“Semua kes positif telah diasingkan dan dimasukkan ke pusat kuarantin, manakala kes terakhir telah direkodkan pada 25 April 2021 iaitu dua kes,” katanya. 
Menurutnya, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKP di Mukim Endau dan Triang, Mersing, Johor pada esok seperti yang dijadualkan. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here