LDP ajak parti pembangkang, kerajaan izin Muhyiddin jadi PM sehingga 2023

0
2

KEDUA-DUA parti pembangkang dan kerajaan diminta membenarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melengkapkan tempoh pemerintahan sehingga 2023.

Perkara itu disarankan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin sambil meminta parti politik mengenepikan perbezaan dan memberi fokus untuk memerangi Covid-19 berbanding berebut kuasa.

Menurutnya, Muhyiddin berhadapan cabaran getir kerana beliau bukan sahaja memerangi Covid-19, malah kesan wabak itu terhadap ekonomi negara selain tekanan daripada parti pembangkang dan Umno.

“Bagaimanapun, beliau tidak gentar dan terus memberi perhatian untuk memerangi penularan Covid-19 dan membangunkan semula ekonomi negara,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat LDP Cawangan Api-Api di Kota Kinabalu semalam.

Su Phin berkata, LPD memutuskan untuk menyertai PN disebabkan parti itu mengagumi kepimpinan Perdana Menteri.

Katanya, pengisytiharan darurat membolehkan Perdana Menteri memberi fokus untuk memerangi Covid-19 tanpa diganggu oleh pergolakan politik.

Beliau juga bersetuju tempoh darurat hanya boleh ditamatkan selepas tercapainya 80 peratus imuniti secara kelompok dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berharap, rakyat akan memberi kerjasama penuh kepada kerajaan agar segera mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin Covid-19.

“Untuk mengadakan pilihan raya umum ketika ini sudah pasti akan menyebabkan gelombang baharu penularan wabak ini, dan akan menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

“Sudah pasti ekonomi kita akan terjejas khususnya di Sabah yang bergantung penuh dengan pendapatan dari sektor pelancongan.

“Rakyat Sabah tidak lagi mampu untuk bertahan lama dalam keadaan itu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here