Kerajaan jamin Undi 18 dilaksanakan tahun ini – Takiyuddin

0
1

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi jaminan kerajaan akan melaksanakan Undi 18 dalam masa terdekat pada tahun ini.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih meneliti beberapa perkara sebelum dimuktamadkan dan ia dijangka dilaksanakan Julai ini sekali gus membolehkan rakyat berumur 18 tahun mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Bagaimanapun, saya tidak boleh memberi jangka masa tepat tetapi yang pasti dalam tahun ini juga. Kalau boleh buat Julai ini, kita akan buat,” katanya dipetik Bernama.

Beliau ditemui media pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri kepada imam-imam masjid Jumaat, halaqat dan penghulu bagi Parlimen Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata menjadi hasrat kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk memberi hak kepada rakyat berumur 18 tahun mengundi dan menentukan kepimpinan negara.

Mengenai mengapa Undi 18 mengambil masa sebelum dilaksanakan, beliau berkata, banyak perkara perlu diambil kira khususnya aspek perundangan.

“Apabila ada perubahan dari segi dasar misalnya daripada umur 21 kepada 18 tahun ini, ada perundangan tertentu yang perlu dipinda dan ditambah baik kerana di bawah pilihan raya itu ada banyak undang-undang.

“Antaranya Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Akta Pilihan Raya serta ada peraturan-peraturan mengenai perjalanan pilihan raya dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan SPR akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan isu berkaitan perundangan.

“Keduanya pula, isu teknikal perlu diambil tindakan oleh kerajaan terutama oleh SPR kerana apabila dibuka (undi 18 tahun) maka bilangan (pengundi) akan bertambah sekali gus perlu tambah baik perisian dan sebagainya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here