Covid-19: KKM perlu nilai semula risiko sektor pendidikan – Najib

0
2

Nurul Huda Abhar

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta Kementerian Kesihatan (KKM) menilai semula risiko jangkitan Covid-19 bagi sektor pendidikan dan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) jika perlu.

Menurutnya, ia termasuk mengurangkan jumlah hari persekolahan, mewajibkan murid disaring setiap dua minggu, atau sesi persekolahan beralih semula ke pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selagi bilangan kluster baharu membabitkan institusi pendidikan masih tinggi.

“Tak ada siapa dalam kerajaan yang risau bahawa hampir satu pertiga kluster baru setiap hari melibatkan sekolah ke?

“Dalam tempoh dua minggu lepas (16 hingga 29 Apri), KKM telah umum 139 kluster baru di mana 43 kluster (31 peratus) melibatkan sektor pendidikan.

“Bagi saya, risiko kluster pendidikan merebak ke masyarakat lebih tinggi berbanding sektor kilang dan pembinaan di mana kebanyakan mereka yang berjangkit mungkin pekerja yang tinggal bersama,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.

Najib berkata, kerumitan utama dalam isu melibatkan kluster institusi pendidikan adalah secara umumnya murid-murid dan remaja kurang terkesan akibat Covid-19.

Beliau berkata, walaupun positif, kebanyakan mereka tiada gejala dan sukar dikesan mempunyai virus tersebut dan telah menjangkiti orang lain.

“Ertinya, murid sendiri tak sedar mereka positif tetapi akan menjangkiti kawan-kawan, guru dan orang dewasa di rumah dan seterusnya merebak ke komuniti. Apabila Covid semakin menular ke masyarakat umum maka akan jauh lebih sukar untuk KKM bendung.

“Orang dewasa serta guru yang dijangkit pula akan lebih terkesan dan kemungkinan jatuh sakit. Risiko kesihatan pada orang dewasa dan orang tua yang dijangkiti lebih tinggi berbanding murid-murid sendiri.

“Apapun keputusan, jika purata 31 peratus daripada kluster baru yang dikesan setiap hari melibatkan sekolah maka ini adalah satu masalah serta risiko besar dan tidak patut dipandang ringan,” ujar beliau.

Semalam sahaja KKM melaporkan pertambahan tiga lagi kluster baharu membabitkan institusi pendidikan iaitu Kluster Tabuan Jaya (Sarawak), Kluster Batu Lada (Kelantan), dan Kluster Jalan Abdul Rahman Andak (Johor). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here