Tidur tak lena dapat tahu buka puasa di hotel

0
3

HASRAT 75 anak yatim dan asnaf mahu menjejak kaki ke hotel tercapai apabila dibawa berbuka puasa di Hotel Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA di Sepang baru-baru ini.

Pengurus Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As Solihin Kanchong Darat, Noor Haniza Mohd Shah Baki berkata, anak-anak yatim dan asnaf di pusat jagaan itu sangat teruja dan tidak dapat tidur lena apabila diberitahu akan dibawa berbuka puasa di Hotel Movenpick.

“Anak-anak dapat tahu saja nak berbuka di Hotel Movenpick mereka sangat gembira. Dari semalam sibuk cari baju, gunting rambut, cari kasut. Malam tadi dah tak tidur lena fikir nak naik bas. Mereka dah lama tak jalan naik bas masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ni.

“Saya sangat bersyukur kerana telah dijemput oleh pihak Hotel Movenpick untuk berbuka di sini. Selalunya kalau anak-anak lalu depan hotel ini, mereka akan cakap cantiknya hotel ini… kita orang nak tidur sini boleh umi….saya (Umi) cakap kalau ada rezeki kita boleh datang sini.

“Tapi dalam hati saya berdoa, Ya Allah mereka nak rasa macam mana orang lain rasa. Kalau boleh saya nak jaga mereka dengan sempurna supaya mereka tidak merasa kekurangan,” katanya yang dipanggil Umi oleh anak-anak di rumah tersebut.

Noor Haniza berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak Hotel Movenpick kerana kesudian menjemput anak-anaknya untuk berbuka di hotel tersebut.

“Mungkin ini doa yang dikabulkan oleh Allah SWT daripada permintaan anak- anak ini dan saya juga mendoakan Hotel Movenpick ini terus maju,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengurus Besar Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Wan Enderi Mohd Saad berkata, jemputan berbuka puasa itu adalah pengisian program Ramadan bagi memupuk nilai masyarakat penyayang yang diadakan setiap tahun.

Wan Enderi berkata, ia sekali gus mengerat ukhwah dan silaturrahim dalam kalangan warga kerja Hotel Movenpick dan kanak-kanak dari rumah yang terpilih.

“Perkhidmatan yang kami sediakan melangkaui keupayaan kami. Ia juga tidak terhad kepada tetamu hotel malah kami memperluaskan kepada komuniti di mana kami bekerja.

“Tanggungjawab sosial korporat ini merupakan acara tahunan pada Ramadan sejak 2018. Tahun lalu, kami mengambil inisiatif menghantar juadah berbuka ke rumah-rumah anak yatim dan asnaf berhampiran memandangkan ketika itu negara sedang menghadapi PKP,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here