Acryl Sani dilantik Ketua Polis Negara

0
2

TIMBALAN Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa 4 Mei ini.

Pelantikan itu diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Ketua Polis Negara ke-13 di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, hari ini.

Beliau akan menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang akan bersara pada 3 Mei ini, selepas dua tahun memegang jawatan nombor satu dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hamzah berkata, pelantikan Acryl Sani melalui proses sewajarnya yang diputuskan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) sebelum mendapat persetujuan Perdana Menteri serta perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Hamzah, pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah menerima nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Setelah proses dilakukan SPP dan dipersetujui semua ahli suruhanjaya, semua termasuk Tan Sri Abdul Hamid Bador setuju Acryl Sani diangkat sebagai Ketua Polis Negara yang baru ” katanya.

Acryl Sani yang dilahirkan pada 3 Oktober 1961 di Petaling Jaya, berkelulusan Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia dan menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2 Februari 1986 sebagai Penolong Penguasa Kadet (ASP) Kadet.

Sepanjang perkhidmatan Acryl Sani dalam pasukan polis, beliau telah memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Bukit Aman.

Antara jawatan yang pernah disandangnya adalah Pesuruhjaya Polis Sarawak, Ketua Polis Perak, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial; serta Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here