SEORANG anggota trafik Kuala Lumpur membuat laporan polis berhubung cubaan menjatuhkan maruahnya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), setelah gambarnya diambil tidak memakai pelitup muka ketika bertugas.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya ketika kejadian Selasa lalu, anggota tersebut bertugas mengawal lalu lintas di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Lorong TAR 7, iaitu kawasan pasar malam mulai 1 tengah hari hingga 10 malam.
“Pada jam 8 malam ketika anggota ini baru berbuka puasa bersama lima rakan sekerja lain di bawah sebuah khemah di persimpangan Jalan TAR / Jalan Asfahan (Berhampiran SOGO).
“Anggota ini menuju ke motosikal untuk meneruskan tugasnya. Dipercayai gambar tersebut telah dirakam sebelum dia memakai semula pelitup muka dan topi keledar untuk meneruskan rondaannya.
“Satu laporan polis telah dibuat oleh anggota itu kerana cubaan menjatuhkan maruahnya dan PDRM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zulkefly berkata, orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular di media sosial gambar anggota polis trafik tidak memakai pelitup muka ketika bertugas di tempat awam.
Gambar tersebut dipercayai diambil oleh netizen tanpa pengetahuan anggota tersebut ketika bertugas di sekitar kawasan pusat membeli belah SOGO. – Malaysiapost

