Tren Prasarana tiba dengan pesawat kargo terbesar dunia, Antonov

0
3

TREN baharu milik Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) iaitu Bombardier Innovia Metro 300 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Apa yang lebih menakjubkan, tren itu dibawa menaiki pesawat kargo terbesar dunia, Antonov An124-100 dan menempuh perjalanan sejauh 15,837 kilometer dari Amerika Syarikat (AS).

Satu sejarah baru tercipta apabila ianya menjadi tren pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang dihantar menerusi pesawat kargo.

Tren tersebut menjadi unit kelima daripada kumpulan 27 unit tren baharu yang dibeli di bawah projek Kuala Lumpur Additional Vehicle (KLAV), seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Momen bersejarah ini turut disaksikan Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Muhammad Nizam Alias dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana, Datin Norlia.

Menurut Muhammad Nizam, Prasarana berbesar hati dengan komitmen ditunjukkan semua pihak dalam memastikan projek perbekalan tren baharu mengikut jadual yang ditetapkan.

Tambahnya, rakyat khususnya di sekitar Lembah Klang akan mendapat manfaat daripada pelaburan yang dibuat oleh kerajaan bagi memastikan kemudahan pengangkutan awam negara bertaraf dunia.

Turut hadir, wakil Bombardier Hartasuma Consortium (BHC), Tan Sri Ravindran Menon dan Ahmad Marzuki Arifin.

Di bawah projek perolehan dengan BHC, Prasarana membeli 27 unit tren baharu Bombardier Innovia Metro 300 yang kemudian dipasang di fasiliti pembuatan Hartasuma di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Pada masa sama, kebolehan dan kecanggihan pesawat Antonov berupaya membawa muatan sehingga 120 tan atau bersamaan dengan 17 ekor gajah.

Selain itu, pesawat ini mengangkut tren LRT empat-gerabak dari pusat pembuatan Bombardier di AS terus ke Kuala Lumpur hanya mengambil masa tiga hari.

Seterusnya, tren akan dibawa ke fasiliti pembuatan BHC bagi menjalani pemasangan dalaman dan pemeriksaan rapi sebelum dihantar ke Depoh LRT Kelana Jaya untuk urusan pengujian dan pengesahan teknikal.

Terdahulu, Prasarana telah membeli 14 tren Bombardier Innovia 300 dibawah projek fasa pertama KLAV.

Pertambahan 27 tren empat-gerabak yang baharu ini dapat menambah keselesaan pengguna, sekaligus mengurangkan tempoh masa menunggu ketika waktu puncak. – Malaysia Pos