PRN Sabah: Pemimpin PKR berbalah isu lambang calon

0
2

Awang Abdullah

PEMIMPIN Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah berbalah mengenai penggunaan lambang parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Ia selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan bahawa calon parti itu akan bertanding menggunakan lambang PKR.

Keputusan itu kemudian dipertikai Naib Pengerusi PKR Sabah, Datuk John Ghani, yang mendakwa ia bertentangan dengan autonomi PKR negeri.

Hari ini, Ketua Penerangan PKR Sabah, Simsudin Sidek pula tampil membidas kenyataan John itu yang disifatkannya tidak tepat.

“Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keputusan mengunakan lambang parti dalam PRN Sabah dibuat berdasarkan apa yang diputuskan mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah pada 20 Ogos lalu. 

“Mesyuarat itu dipengerusikan Datuk Christina Liew selaku Pengerusi MPN Sabah khusus untuk membincangkan isu penggunaan logo dalam PRN yang turut dihadiri hampir semua barisan MPN dan ketua cabang.

“Untuk rekod, Datuk John Ghani tidak hadir pada mesyuarat itu. Dengan ini, kenyataan beliau seperti yang diterbitkan di akhbar adalah lebih bersifat kenyataan peribadi dan bukan kenyataan dari PKR Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Simsudin berkata, sehubungan itu tidak timbul dakwaan Anwar tidak faham sentimen Sabah atau isu berbangkit berkaitan autonomi Sabah seperti yang didakwa dalam kenyataan media John sebelum ini.

Setakat ini, gabungan Parti Warisan Sabah (Warisan), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), PKR, DAP dan Amanah belum membuat sebarang keputusan sama ada menggunakan satu logo atau tidak pada PRN nanti.

Ketua Menteri yang juga Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sebelum ini turut menjelaskan beliau tidak memaksa semua parti menggunakan satu lambang iaitu Warisan walaupun ada cadangan mengenai perkara itu. – Malaysia Post