Lebih 100 pegawai, anggota Rejimen 507 AW sedia bantu operasi PKPB di Sabah

0
2

REJIMEN 507 Askar Wataniah (AW) bersiap siaga membantu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah mulai hari ini.

Komander Rejimen 507 AW, Brigedier Al Hambra Juhar berkata pihaknya dengan kekuatan 12 pegawai dan 96 anggota lain-lain pangkat kini bersedia diatur gerak pada bila-bila masa.

“Pasukan kita sentiasa memberi komitmen yang tinggi dalam Op Penawar bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu.

“Berkenaan pelaksanaan PKPB yang akan bermula esok (hari ini), Rejimen 507 diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk membantu pada bila-bila masa.

“Penugasan pasukan ini sebenarnya bergantung kepada keperluan yang dipohon oleh polis dan arahan dikeluarkan Markas 5 Divisyen dan 5 Briged dari semasa ke semasa.

“Ini bermakna, sebarang penambahan atau pengurangan pegawai atau anggota akan dibuat mengikut keperluan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Ziarah Kasih di Kota Kinabalu semalam.

Pada majlis itu, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Nur Jauhar (YNJ) menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Putera dan Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Puteri Aisah di Likas.

Mengenai penugasan sedia ada, Al Hambra memaklumkan, seramai 30 anggota pasukan AW terlibat penugasan di beberapa lokaliti yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Lokaliti tersebut ialah Kampung Dambai di Inanam serta di Keningau melibatkan 30 anggota Askar Wataniah.

“Selain itu, mereka juga membantu dalam penugasan di beberapa lokasi sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini,” kataya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here