Perang siber: Hati-hati pemberitaan yang merosakkan – Hadi

0
1

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati dalam menerima atau menyebarkan apa-apa maklumat.

Ini kerana, katanya ada berita daripada orang fasiq atau orang jahil yang boleh menyesatkan dan merosakkan manusia.

Golongan fasiq, katanya, ialah mereka yang tidak berpegang kepada agama dan moralnya sangat rapuh sehingga tidak bermaruah.

Malah, beliau berkata, mereka boleh melakukan apa sahaja termasuk menyebarkan berita bohong atau fitnah.

“Sekalipun sesuatu berita disebarkan itu benar, akan tetapi apabila disampaikan secara tidak lengkap, ia tetap akan merosakkan penerimanya dengan segera atau pada bila-bila masa. Malahan terhadap dirinya sendiri atau sesiapa sahaja.

“Pada zaman media baru terkini, manusia yang rakus menjadi makhluk perosak dan sanggup berbelanja besar dengan mengambil tugas Iblis tersebut,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS dimuat naik di Facebooknya.

Abdul Hadi berkata terdapat juga golongan yang bermatlamat mencari kesenangan dengan mendapat upah lumayan, semata-mata untuk mengisi perut dan mendapatkan segala kemewahan daripada rezeki haram untuk diri dan keluarganya.

“Mereka mengambil peluang daripada dunia yang langitnya terbuka tanpa sempadan, bagi melancarkan peperangan baharu ‘Cyber War’ terhadap negara dan umat yang besar.

“Dengan menggunakan jumlah anggota tentera upahan yang diletakkan di seluruh dunia dengan bayaran yang lumayan, sama ada dalam negara dan juga luar negara dengan bebas,” katanya.

Kata Ahli Parlimen Marang itu lagi, walau betapa canggih sekalipun teknologi terkini, ia merupakan cara halus bagi merosakkan kehidupan manusia namun kelak tetap akan dihisab di Mahkamah Allah.

“Semuanya terlalu kerdil di bawah kekuasaan Allah SWT yang menguji manusia dengan ni‘mat akal dan sedikit ilmu yang dikurniakan kepada mereka masing-masing. Sama ada ilmu tersebut dimanfaatkan atau mendatangkan keburukan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here